Powered By Blogger

Wednesday, March 23, 2011

Gadis Strawberry episod 1


Jam loceng yang berbunyi membingitkan suasana pagi membuatkan aku terbangun secara mengejut dek kerana kelantangan loceng 'cube' berwarna biru yang diselang seli kerdipan lampu 'LED' berwarna-warni. "Ala..baru pukul 8 pagi rupanya, malasnya nak pergi mandi pagi-pagi ni, dahla sejuk pulak tu", merungut aku pada pagi Khamis itu sambil bingkas bangun daripada katil yang menjadi peneman setia aku kala malam. "kruit...", bunyi derapan kaki tatkala aku sibuk mengemas katil telah menyedarkan ayah aku bahawa aku sudah bangun pagi.


 "Haa...awal kau bangun Je'i, kelapa sawit kat belakang rumah dah masak lepas ini boleh la kau tolong ayah pergi mengait sawit dekat belakang", jeritan ayah daripada bawah dapur terus menusuk ke halwa telinga aku. "Ya..ya..Insyaallah kalau Je'i rajin Je'i tolong ayah kat belakang. Kalau tak suruhla si Syubli tak pun Sahli", balas aku sambil menggaru-garu kepala, jelas kelihatan dari raut wajah aku tertera perkataan malas. Tapi nak buat macam mana hari ini aku ada tujuan lain dengan harapan aku dapat berjumpa dengan seseorang untuk meluahkan semuanya kepada dia. Lantas aku pun mengambil tuala berwarna coklat di atas pangkin terus ke bilik air untuk mandi dan bersiap.

"Haa..kau nak pergi ke mana lawa-lawa ni, bukan kau cakap nak tolong ayah kat belakang ke?"teguran ayah membuatkan aku terkejut ketika aku hendak mencapai kunci di palang kayu syiling rumah aku. "Ala..Je'i dah janji dengan kawan nak jumpa, suruhla adik-adik yang buat nanti petang kalau Je'i sempat balik Je'i tolong mana yang patut", jawapan aku tadi membuatkan riak wajah ayah aku sedikit berubah lalu mengangguk kepala sebagai tanda setuju membenarkan aku keluar. Lalu aku capai sebuah kotak kecil berbalut kemas serta sekeping gambar berserta sekeping surat. Kemudian aku mengambil kunci terus ke kereta Proton Wira 'Aeroback' bernombor plat WJY 708. Tatkala aku hendak menghidupkan enjin kereta seraya itu kenangan bersama si dia terngiang-ngian dalam kepala otak aku kerana dengan kereta ini jugalah banyak kenangan bersama si dia.  Masih jelas lagi dalam ingatanku saat perkenalan dengan si dia, raut wajahnya yang manis pasti membuatkan sesiapa terasa sejuk hati memandangnya. Matanya yang bulat bersinar boleh membuatkan orang jatuh hati. Dek kerana kesopanan dan kelembutan yang ada padanya, akhirnya aku gagahkan diri untuk berkenalan dengan dia setelah memendam perasaan selama 8 bulan.


***********************************************************


"Assalamualaikum, nama saya Zulhazri. Boleh saya berkenalan dengan awak?", soal ku kepada dia."Boleh jee..tak salah pun kita nak berkawan asalkan awak ikhlas nak berkawan", jawapannya memberi keyakinan kepadaku ada harapan untuk berkawan lebih rapat dengan dia. Tapi sayang, rupa-rupanya dia dah berpunya. "Tak apalah Zulhazri, bukan rezeki kau, tapi tak salahkan kalau kau nak terus berkawan. Ingat cuma berkawan je!",bisik hatiku bagi mengubat sedikit kekecewaan. Perkenalan yang aku anggap sebagai teman biasa semakin hari membuatkan aku dengan dia semakin rapat, masalah keluarga mengenai kehilangan ayah ketika kecil diceritakan kepadaku, Kadang-kadang masalah dia dengan kekasihnya diadukan kepadaku kerana bagi dia, aku antara teman rapat yang selalu dengan dia. Sikap mengambil berat terhadap dia membuatkan aku sedikit demi sedikit jatuh hati kepadanya. "Jangan Zulhazri! dia hak orang, ikhlaskan berkawan jujurkan hati. Andai kata ada jodoh dengan dia Insyaallah ada", kata hatiku kuat berkata bagi mengelakkan perasaan itu datang lebih jauh.



"Awak, malam ini lepas awak habis kerja saya ambil awak tau", ujarku ketika bersiap hendak pergi kerja.

"Eh, tak payahla tak kan tiap-tiap malam awak nak ambil saya, penat awak tunggu saya ialah saya habis kerja tak tentu", jawabnya pula yang sedang bekerja di sebuah kedai makanan bernama 'Strawberry' setelah peperiksaan STPM habis.

"Tak apa, malam ini tepat pukul 10.00 saya tunggu depan kedai awak", kataku itu mengakhiri perbualan kami dalam telefon.

Macam biasa seperti yang dijanjikan aku menunggu dia diluar kedai duduk sendirian di dalam kereta sambil mendengar dendangan lagu Slam "Falsafah Cinta" tatkala itu juga aku dapat lihat dia sedang sibuk mengemas kedai tanda kedai hendak ditutup. "Awak dah makan?", tanyaku kepada dia. Dia tidak menjawab sebaliknya hanya menggelengkan kepala menandakan yang dia masih belum makan. Lantaran itu aku terus membawanya ke sebuah tempat yang biasa kami makan bersama. Deruan ombak pada malam itu begitu sayup, sambil diiringi bunyi keriuhan serangga memberikan sedikit irama yang mengasyikkan pada malam itu. Dari atas jeti muara sungai dapat dilihat bot-bot sedang menyelusuri ke arah laut menandakan air laut sudah pasang. Ketika asyik melihat keindahan pantai pada waktu malam, mee goreng serta teh 'o' ais yang dipesan sampai dan kami menikmatinya bersama-sama. Begitulah rutin harian yang kami lalui jika aku mengambilnya pulang dari tempat kerja. 


"Ponnn!!!!" pekikan hon kereta daripada belakang menyedarkan aku daripada lamunan. Sedar-sedar lampu isyarat sudah pun bertukar hijau, lalu dengan pantasnya aku menekan pedal minyak berlalu membelok ke kanan menghala ke pekan. Sewaktu aku dalam perjalan ke rumah dia terdetik di hati untuk singgah ke rumah 'bos' tempat kerja untuk mengambil barang yang tertinggal. Lalu aku halakan kereta menuju ke sana sambil fikiran ku melayang ingat kepada dia.


***********************************************************


"Joe! Jangan lupa pinggan mangkuk dan 'tray' tu semua dibasuh bersih-bersih. Barang-barang itu semua nak guna untuk 'katering' pada kenduri minggu depan",pekikan Mak Cik Nora menggamit perhatian aku ketika orang ramai sibuk menikmati makanan kenduri.


"Yolaa..jangan risau budak-budak boleh kasi 'settle' ini semua", sahut aku bagi meyakinkan Mak Cik-Mak Cik tempat aku kerja bahawa aku boleh selesaikan kerja terbabit.


"Ni haa..Mak Tam dah bungkuskan makanan untuk kau. Kau jangan bagitahu budak-budak lain yang Mak Tam bungkuskan lebih", sapaan Mak Tam mengalih tumpuan aku ketika sibuk membuat kerja.


Aku pun bertanya,"buat apa bungkusan lebih ini? Satu pun dah cukup", tersengih aku seperti ada maksud lain.


"Alaa..bukan Mak Tam tak tau kau selalu curi-curi bungkus. Kau bungkus untuk gadis Strawberry kan? Mak Tam kenal budak tu, maknya pun kenal Mak Tam. Nah..ambil je kasi dia jangan lupa kirim salam kat dia tau", ujar Mak Tam membuatkan aku tersipu malu. Begitulah rutin yang aku selalu buat, jika ada lebihan makanan 'katering' akan aku bungkus dan hantar kepada dia sama ada terus ke tempat kerja mahupun rumahnya.


Sebaik sahaja selesai mengambil barang di rumah Cik Timah, aku terus dengan tujuan asal aku iaitu pergi ke rumah dia. Aku terus memandu berlalu meninggalkan rumah 'bos'. Sampai di persimpangan lampu isyarat, lampu baru sahaja berubah menjadi kuning kembali. Ketika menunggu lampu kembali kepada warna hijau, pandangan aku tertoleh ke tempat duduk di sebelah. "Ehm..inilah tempat dia selalu duduk, tempat duduk inilah bukti dia pernah temankan aku mencapai cita-citaku", hati kecil ku berkata-kata sambil mengimbas kembali saat-saat dia menemankan aku ke suatu tempat.




p/s : Kenangan semalam adalah manis untuk dikongsi.


Gadis strawberry episod 2
Gadis strawberry episod 3
Gadis strawberry episod 4
Gadis strawberry episod 5
Gadis strawberry episod 6
Gadis strawberry episod 7
Gadis strawberry episod 8
Gadis strawberry episod 9


4 comments: