Powered By Blogger

Wednesday, May 25, 2011

Gadis Strawberry episod 7

"Ring....ring...", deringan jam loceng tepat pukul 4 pagi mengejutkan aku daripada lena yang mengasyikkan. Lalu aku bingkas bangun membuka lampu  dan terus mencapai tuala di pangkin yang terletak di hujung ruang bilik aku. Tatkala aku sedang bersiap untuk mandi tiba-tiba teringat janji aku pada si dia untuk mengambilnya tepat pada pukul 5 pagi. Pagi yang dingin itu melambatkan pergerakan aku kerana masih dalam keadaan separuh sedar. Kedinginan air kolah yang begitu sejuk begitu terasa sekali sehingga menusuk ke dalam tulang. Sebaik sahaja selesai mandi, aku terus menyarung seluar jeans lusuh warna hitam berserta T-Shirt putih yang biasa aku pakai. Ketika aku sedang sibuk bersiap tiba-tiba dengar suara ayah memecah keheningan subuh itu.


"Haa..dah bangun pun kau! Eh..tak kan kau nak pergi temuduga pakai macam ni je?", soal ayah apabila berlalu masuk ke dalam bilik aku sambil membetulkan kain pelekatnya yang nak terlondeh.


"Eh tak adalah..saja pakai macam ni dulu nanti dah sampai sana orang tukar pakai baju kemeja", balasku menjawab pertanyaan ayah.


Ayah hanya mengangguk lalu berlalu keluar turun ke bawah terus ke bilik air. Melihat pergerakan ayah berlalu mata aku kemudian melirik ke jam dinding yang terpapang betul-betul mengadap di hadapan bilik aku.


"Alamak! dah nak pukul 5. Tak boleh jadi aku kena siap nanti takut dia tertunggu-tunggu pulak", bisik hati aku dengan nada tegas. Lalu aku terus menuju ke bilik utama untuk mengejutkan mak aku yang masih diulit mimpi-mimpi indah.


"Mak! Mak! Jei nak gerak dah ni..", teriak aku sambil menggerak-gerakkan tubuh badan mak.


"Laa..dah nak pergi ke? Awal lagi bukan jauh pun Shah Alam tu. Sebelum terlupa kunci kereta waja ada dekat meja bawah", ujar mak sambil bangun keluar daripada kelambu.


Lantaran daripada itu, aku terus bergegas ke bawah sambil membawa sepersalinan baju kemeja turun ke tingkat bawah. Sebaik sahaja menuruni tangga yang bersebelahan dengan bilik air aku terus menyapa ayah aku yang sedang berada dalam bilik air.


"Ayah..Jei gerak dulu tau", ujarku sambil berlalu ke pintu hadapan.


"Jap-jap, ayah dah habis berak ni..sambil-sambil tu kau pergi panaskan enjin kereta dahulu", balas ayahku sambil terdengar deruan air dari dalam bilik air. 
 
Sebaik sahaja enjin kereta dihidupkan dan barang-barang seperti baju dan fail dimasukkan dalam kereta, aku lihat mak dan ayah tercongok depan pintu melihat aku sedang bersiap untuk pergi. Lantas aku terus mencapai kedua tangan mak dan ayah memohon restu.


"Mak..ayah..doakan Jei berjaya dan dipermudahkan temuduga Medsi ni. Insyaallah ada rezeki dapatlah Jei masuk UPSI", ujarku sambil mencium tangan mereka sambil memeluk erat mereka berdua. Aku lihat mak terkedu sambil terpancar genangan air mata di kelopak matanya. Lalu aku terus masuk ke kereta  berlalu pergi sambil melambai ke arah mak dan ayah. Tatkala itu juga ayah menempik, " Hati-hati bawak kereta!", sambil membalas lambaianku. Seperti yang dijanjikan aku terus memandu kereta ke rumah dia kerana jam di tangan menunjukkan aku sudah terlambat 10 minit. Seperti yang dijangka, sebaik sahaja aku sampai di rumah dia aku lihat dia dan maknya sedang duduk di luar menanti ketibaan aku.


"Minta maaf awak, mak cik sebab terlambat", ujarku sebaik sahaja keluar daripada kereta.


"Eh tak adalah, kami baru je keluar duduk sembang-sembang sambil tunggu awak sampai..betul tak mak?", balasnya sambil mak dia cuma mengangguk.


"Nanti bawak kereta elok-elok ya. Jaga anak mak cik baik-baik tau", tegur  mak si dia tanda perihatin dan sayang pada anaknya.


Lantas aku pun menjawab, "Insyaallah saya jaga baik-baik lagipun tak lama kat Shah Alam nanti, mungkin petang sampai sini balik", tersenyum si dia tatkala aku sedang berbicara dengan maknya. Lalu aku menyambung kembali bicara, "Sekali lagi saya minta izin ya Mak Cik sebab bawak anak Mak Cik pagi-pagi buta ni".


Mak Cik hanya mengangguk dan tersenyum sambil si dia mencapai tangan mencium tangan dan memeluk maknya.


"Mak jangan risau petang nanti sampai sini. Doakan Zul berjaya temuduga nanti ek", katanya sambil melepaskan pelukan manja daripada maknya.


Sambil berlalu masuk ke dalam kereta aku pun melambaikan tangan dengan harapan mak dia turut mendoakan kejayaan aku. Tatkala aku hendak berlalu pergi sekali lagi aku bersuara sambil tingkap kereta dibuka, "Mak Cik kami pergi dulu ya.. Assalamualaikum..", dan aku pun terus berlalu meninggalkan Mak Cik yang sedang berdiri di bawah rimbunan pokok betul-betul di hadapan rumahnya.


Pagi itu begitu dingin kerana aku terpaksa membuka 'air-cond' bagi mengelakkan kondensasi berlaku terhadap cermin hadapan akibat cuaca sejuk di luar kereta. Kegelapan pagi itu begitu pekat belum menunjukkan tanda-tanda matahari hendak terbit sebaliknya hanya kilauan cahaya daripada kereta bertentangan yang menyinari jalan raya. Sesekali aku meninggikan lampu kereta apabila memandu di kawasan yang tiada lampu jalan. Ketika aku khusyuk memberi tumpuan memandu kereta aku lihat dia hanya duduk diam sahaja.


Lantas aku pun berkata, "Kalau awak mengantuk awak tidur jelah, awak jangan risau saya boleh 'drive' sorang-sorang".


"Eh tak adalah saya tak mengantuk pun, saya temankan awak memandu ye. Saya nak lihat awak selamat memandu sampai kita sampai tau", jawabnya sambil melirikkan senyuman ke arahku.


Aku lihat dia begitu cantik dan manis hari ini, mana tidaknya dengan berbaju kurung warna merah serba lengkap serta padanan corak yang cantik menimbulkan lagi aura warna baju menyerlahkan keayuannya pada pagi itu. Tatkala itu juga itu hati aku seakan menyucuk tanda aku betul-betul jatuh hati padanya.


"Awak..awak nampak manis sangat dengan baju kurung ni, baju raya ek?",  kataku sambil memandu dengan berhati-hati.


"Tak adalah, baju ni mak saya jahit sendiri kalau awak nak tahu inilah 'first time' saya pakai baju kurung ni. Ingat nak pakai masa raya tapi pasal awak saya pakai baju ni", tersenyum manis dia sambil menjeling manja ke arahku.


p/s : Sambungan pada Gadis Strawberry episod 8



3 comments:

  1. wow.. penulisan ko makin mantap ! i like~~~ tpi bile la nak habis citer nie. lepas satu satu~!

    ReplyDelete