Powered By Blogger

Friday, June 17, 2011

Gadis Strawberry episod 8

Perjalanan pada pagi itu terasa cepat sahaja meskipun pemanduan aku tidak begitu laju. Mungkin disebabkan kereta yang kurang menjadikan perjalanan begitu lancar meskipun semakin hampir ke pusat bandar. Bagi mengelakkan aku mengantuk sesekali aku berbual kosong dengan si dia. Matanya yang bulat bersinar di tambah dengan senyuman yang manis buatkan aku menghargai setiap masa dan saat bersama dia.

"Awak..kita dah sampai ni. Alhamdulillah sampai gak kita dekat Fakulti Pendidikan UITM", kataku sebaik sahaja kereta memasuki pintu utama kampus luar UITM, Seksyen 17 Shah Alam.

Ketika itu, aku lihat ramai orang walaupun masih awal pagi. Kemungkinan yang datang mempunyai tujuan yang sama iaitu untuk temuduga UPSI. Sebaik sahaja meletakkan kenderaan, aku terus pergi ke bilik air untuk menyalin sepersalinan baju kemeja, sementara dia tunggu di kereta.

"Eh..awak nampak segak, macam cikgu saya tengok. Mesti temuduga ni awak berjaya", ujar si dia sebaik sahaja melihat aku berpakaian kemeja lengkap.

"Segak ye..mestilah tengok tuannya..hehehe. Insyaallah harap-harap saya berjaya temuduga ni", balasku sambil melontarkan senyuman kepadanya.

"Awak temuduga pukul berapa ni?".

"Pukul 8, jomla awak kita ke sana. Dah nak pukul 8 ni, lagi awal kita pergi mungkin lagi awal saya habis temuduga", jawabku sambil berjalan bersama ke arah bangunan yang menunjukkan tempat temuduga.

HANYA PENEMUDUGA DIBENARKAN NAIK, PENJAGA DAN KELUARGA SILA TUNGGU DI RUANG BAWAH, TERIMA KASIH.

"Alamak awak..nampaknya awak tak boleh temankan saya. Papan tanda ni tak kasi orang lain masuk kecuali penemuduga".

"Ala papan tanda yang tak kasi bukan orang..heheheh".

"Erkk.....hahahaha!!", tergelak aku bila dia cakap begitu.

"Tak apa awak, saya tunggu dekat bawah ni je. Awak pergilah naik atas, jangan lupa baca salawat banyak-banyak tau", ujar dia kepadaku.

"Betul ni awak boleh tunggu sorang-sorang? Kalau macam tu saya naik dulu tau..", kataku seperti acuh tak acuh risau kerana takut dia keseorangan di bawah. Lalu dia cuma menitipkan senyuman dan mengangguk memberi keyakinan kepadaku. Aku pun berlalu naik ke tingkat atas sementara dia duduk sendirian di bawah.


Ketika itu aku lihat ramai orang baik laki dan perempuan siap duduk beratur untuk temuduga. Rasanya lama juga menunggu lebih kurang dua jam baru giliran aku tiba untuk temuduga. Alhamdulillah proses temuduga berlansung tidak begitu lama dek kerana penemuduga yang baik-baik serta ramah. 



Memandangkan si dia menunggu lama di bawah aku pun bergegas turun ke bawah sebaik sahaja bersalaman dengan rakan-rakan yang baru berkenalan semasa sesi temuduga tadi. 

"Kesian awak lama tunggu, minta maaf ye", ujarku sebaik sahaja melihat dia duduk sendirian sesekali membelek-belek telefon bimbitnya.

"Eh awak..dah habis temuduga ek? Tak adalah lama awak jangan risau janji awak dah selesai semuanya", balasnya dengan senyuman menghilangkan penatnya menungguku.

"Hari masih awal, jom kita pergi jalan-jalan atau kita pergi tengok wayang?".

"Tengok wayang? Jom! saya tak pernah tengok wayang, kalau macam tu jomlaa..", teruja dia sambil menepuk manja ke lengan kanan aku.

Lalu kami pun berlalu pergi ke kereta dan aku terus memandu menghala ke   Klang dengan tujuan untuk ke Jusco Bukit Tinggi kerana disitu adalah tempat yang terbaik untuk pergi ke sana memandangkan sudah biasa menonton wayang dengan rakan-rakan disitu. Sebaik sahaja sampai di perkarangan letak kereta kelihatan tidak begitu banyak kenderaan yang ada memandangkan masih waktu bekerja. Lantas aku dan dia menuju masuk ke dalam pusat membeli-belah terus ke tingkat atas untuk membeli tiket wayang. Pada ketika itu, suasana di ruang legar hadapan panggung wayang tidak begitu ramai memandangkan bukan waktu cuti. Di kesempatan itu aku terus ke kaunter untuk membeli tiket meskipun tidak begitu banyak tayangan yang menarik, tapi demi si dia aku sanggup tunaikan tak kisah apa cerita sekalipun. Aku pun beratur sambil si dia duduk menunggu di anjung kerusi bersebelahan eskelator betul-betul di hadapan kaunter tiket wayang.

"Saya nak tengok cerita....haaa 'Robin Hood' ya", ujarku sebaik sahaja mengenal pasti cerita terbaik untuk ditonton.

"Baik encik, ini dia dua tiket untuk 'Couple Sit' dan tempat duduk di sini ya", terpinga aku sebaik sahaja dia terus mencadangkan tempat duduk berpasangan sedangkan aku seorang sahaja yang beli tiket. Barangkali gadis kaunter ternampak aku jalan berdua dengan si dia.

"Ehm bolehla saya pilih tempat duduk tu. Terima kasih cik..", ucapku sebaik sahaja menerima tiket wayang daripada gadis kaunter tersebut.

Hari itu merupakan detik terindah serta pengalaman pertama bagi aku dan dia kerana ini pertama kali aku duduk di 'Couple Sit' manakala dia pula pertama kali menonton wayang. Kami pun berlalu masuk ke dalam panggung wayang di mana ketika itu tidak ramai penonton yang ada cuma ada tiga pasangan di 'Couple Sit' termasuk aku dan dia. Menonton cerita aksi selama 2 jam setengah tidak terasa kerana seakan menonton cerita romantik berangkali dapat duduk dengan si dia. 

Keindahan hari tersebut berterusan seakan menggamit kenangan yang akan aku kenang sampai bila. Mana tidaknya sebaik sahaja menonton wayang dan makan kami pun berlalu pulang. Di dalam perjalanan pulang sebaik sahaja sampai di Kuala Selangor terdetik di hati aku untuk singgah  melawat di Bukit Melawati.

"Awak jom kita pergi Bukit Melawati. Waktu-waktu petang macam ini cantik kalau dapat lihat laut dari arah bukit", tanyaku sebaik sahaja kereta semakin hampir ke destinasi.

Dia hanya mengangguk dan tersenyum seperti setuju untuk singgah sebentar. Lalu aku pun menyusur masuk memandu kereta melalui jalan sempit naik ke atas Bukit Melawati. Sebaik sahaja sampai di puncak bukit, kelihatan cahaya petang yang kekuningan menyinari seluruh pelosok bukit menghiasi keindahan pada petang itu.


"Awak cantikkan...", tersenyum indah dia sebaik sahaja melihat pemandangan yang begitu mengasyikkan. Keindahan petang itu juga mengakhiri kenangan aku dan si dia sepanjang hari tersebut. Indah begitu indah..

p/s : Episod akhir Gadis Strawberry episod 9

No comments:

Post a Comment