Powered By Blogger

Thursday, March 31, 2011

Selamat Hari Jadi Cikgu Mahmud!



Masih aku ingat lagi saat-saat ayah ketika muda, ketika itu semangatnya sungguh tinggi tak pernah kenal erti jemu mengajar anak-anaknya erti kehidupan, mengajar anak-anaknya mengaji al-quran bermula dengan alif ba ta sehinggalah pandai mengaji dengan lancar. Sekalipun aku tak pernah lupa saat ayah memarahi ku kerana kedegilan dan kenakalan ku, rasanya sampai berbirat badan ni kena sebat dengan rotan buluh milik ayah. Tapi aku tak pernah pun rasa dendam rasa benci pada ayah walaupun sekali, kerana aku tau sifat pemarahnya bukan diselubungi hawa nafsu tapi pemarahnya itu penuh dengan kasih sayang. Niatnya cuma satu sahaja dengan harapan biar anaknya terluka biar berdarah anaknya itu agar anaknya menjadi seorang insan yang berguna menjadi manusia yang beriman dan bertawakal ke jalan Allah SWT.

Dahulu ketika ayah muda, setiap langkahnya disusurinya dengan penuh gagah hingga aku boleh kenal hentakan kaki ayah dari jauh lagi. Tapi kini semua dah jauh berbeza, ayah yang aku kenal kini masih bersemangat,jiwanya masih kuat seperti dulu, cuma yang membezakan ayah waktu sekarang kudratnya tak seperti dulu, kini langkahnya semakin perlahan dan lemah. Kalau dulu jalannya segak mendada tapi kini senget ke tepi dan membongkok dan pada ketika itula baru aku sedar raut wajah ayah dah tak seperti dulu. Kedut pada mukanya dah bertambah jelas ketara pada kelopak matanya meskipun cahaya pada matanya tetap bersinar. Rambutnya yang hitam kerinting serta lebat menunjukkan ketampanannya lagi-lagi apabila rambutnya disisir kemas ke belah kiri. Tapi kini hanya uban yang memenuhi dan kopiah putih beserta serban menjadi makhota ayah. Misainya yang ikal menampakkan lagi riak wajahnya yang garang jelas kelihatan ciri-ciri bekas seorang guru disiplin.

Kini aku sedar, perubahan yang aku nampak pada ayah bererti dia semakin dimamah usia dia bukan lagi ayah yang dulunya seorang pemarah menjadikan rotan sebagai teman baiknya. Tapi kini ayah hanya banyak berbicara mengenai soal agama kepada anak-anaknya yang pulang bertandang ke kampung ketika musim cuti sekolah. Dia tak lagi berbicara mengenai duniawi tapi tumpuannya kini hanya pada Illahi.

Andai kata esok lusa ayah tiada, kesedihan itu tetap aku rasai kerana tempat aku bergantung ketika susah dan senang sudah tiada. Saat-saat kenangan ayah membesarkan aku menjadi insan yang berguna akan aku semat didalam hati menjadi memori terindah dalam hidup ini. Tiada lagi sahutan ayah mengejutkan anak-anaknya bangun subuh, tiada lagi kemerduan suaranya membaca ayat-ayat suci al-quran memecah keheningan di dalam rumah. Malah tiada lagi keriuhan ayah memanggil anak-anaknya membantu beliau di kebun. Ketika ayah tiada lagi saat itulah aku akan merindui bau minyak wangi 'tar' yang sering kali dipakainya untuk menunaikan solat. Andai ayah tiada lagi hanya doa daripada anakmu menjadi iringan semoga ayah aman dan tenteram di alam sana. Amin...


Khamis, 3 Februari 2011

4.15 pagi Hospital Sabak Bernam

Dulu..



Kalau korang semua nak tau, inilah permulaan bagaimana aku sedar akan kebolehan aku untuk menulis. Saat-saat menunggu ayah dihospital membuatkan aku terdetik untuk menulis sesuatu untuknya. Walaupun ayah tak tahu aku ada blog tulis sesuatu untuknya sekurang-kurangnya inilah tanda penghargaan untuk beliau yang mendewasakan aku. Dengan ucapan tulus ikhlas saya mengucap "SELAMAT HARI JADI CIKGU YANG KE-67, Semoga panjang umur & murah rezeki".


Sekarang..


p/s : Sayangi ayah walau macam mana pun dia.

3 comments: