Powered By Blogger

Thursday, April 21, 2011

LIF



Mesti orang tertanya apa kena mengena lif dengan kehidupan aku. Kalau korang semua nak tau aku sebenarnya takut naik lif benda yang paling aku takut berbanding hantu. Tawarkanlah seribu ringgit pasti aku tak berani naik lif sendirian. Kalau dulu masa kecik-kecik naik lif aku mesti peluk mak ayah aku kuat-kuat, kalau ada adik atau kakak dengan abang aku merekalah aku peluk kuat-kuat.  Sampaikan aku kena marah dengan ayah.

“Eh! Kenapa kau ni takut sangat naik lif sampai nak kena berpeluk-peluk”, marah ayah aku. Tapi aku diam seribu bahasa tak berkata apa-apa, ialah aku masih kecik nak mengadu nanti tak pasal-pasal kena marah balik dengan ayah, jadi aku diam jela.  Paling aku tak boleh lupa masa aku darjah 3 masa tu mak aku sakit jantung selalu la dia masuk Institut Jantung Negara(IJN), yang buat aku sakit hati mak aku boleh pula kena tahan di wad tingkat 8, jadi nak tak nak aku gagahkan diri naik tangga sampai la tingkat lapan, masa tu kecik lagi orang kata lurus bendul pasal “ground floor” tu aku kira sebagai tingkat satu ingatkan dah sampai. Akhirnya aku kuatkan semangat naik lagi setingkat, sampai je tingkat sepuluh habis menggigil lutut aku hingga berpeluh-peluh.

Tapi itu masa aku darjah 3, yang buat sakit hati ialah adik-adik aku selalu menyakat aku. Ialah abang mana tak rasa malu kena sakat dengan adik-adik, “wekkk! Je’i penakut naik lif!”, teriak adik aku sambil berlalu memasuki lif. Masa itu aku kecik lagi orang tak mengerti kenapa aku takut naik lif. “Tapi biarla orang kata apa, tanggakan ada!”, hati kecil aku berkata.

“Wei, wei! Zulhazri pengsan arr, Cikgu! Cikgu Zulhazri pengsan”, jeritan kawan aku itu memecah keheningan perhimpunan pada pagi Isnin di SK Seri Makmur, Sungai Besar. Bila aku sedar-sedar je aku dah ada dalam bilik sakit sambil Cikgu Maznah mengurut kepala aku. Lalu cikgu Maznah bertanya “Zul, kamu ni sakit apa sebenarnya? Kalau kamu tak sihat bagitaulah ibu bapa kamu supaya mereka bawa kamu ke hospital untuk pemeriksaan”, nada perihatin cikgu membuatku terharu. “Baiklah cikgu saya akan bagitau pada ibu bapa saya”.

“Zulhazri, sebenarnya kamu ada masalah mata yang berkait rapat dengan otak kamu, saya rasa lebih baik kamu buat pemeriksaan lanjut di Hospital Teluk Intan”, nasihat doktor pada aku. Semenjak dari darjah 5 aku mula memakai cermin mata kerana doktor mengesahkan bahawa aku ada masalah penglihatan.  Pada masa darjah 5 baru aku mendapat tau penyakit sebenar yang dialami oleh aku apabila mak sudi membawaku untuk membuat pemeriksaan lanjut. “Puan, kami sebenarnya tak dapat pastikan apa penyakitnya tapi, hasil pemeriksaan yang dibuat kami mendapati anak Puan ada masalah mengenai saraf otaknya”, terang doktor pada ibu ku. “Kami Cuma dapat bekalkan ubat sebagai alternatif dan jika ada apa-apa berlaku bawa dia lagi untuk buat pemeriksaan”, penerangan doktor tersebut mengakhiri sesi ujian kesihatan.

Hari berlalu begitu pantas, tau-tau saja aku kini di tingkatan 2 di SMK Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan aku masih takut menaiki lif. Bekalan ubat yang dikirim oleh ibu aku makan tiap-tiap hari agar aku tidak pening-pening serta mengalami migraine. Akhirnya apabila penyakit aku bertambah teruk, ibu bapa aku memutuskan untuk memberhentikan aku sekolah dan menukarkan sekolah yang lebih dekat dengan rumah dengan cara ini mak ayah dapat menjaga aku. Tapi tak siapa menduga, langit yang sentiasa cerah akhirnya mendung juga alih-alih boleh hujan lebat. Penyakit yang dialami aku kian parah dan akhirnya mak ayah memutuskan untuk membuat pemeriksaan lanjut di hospital Klang. Masih ingat lagi, saat aku kena tahan wad selama seminggu bagi pemeriksaaan lanjut. Rasanya habis tangan ni dah lali kena penangan jarum oleh jururawat yang menjaga aku. Pengalaman pertama yang aku rasa apabila di masukkan ke dalam ‘CAT Scan’ sungguh menakutkan, bayangkan tempat sempit lepas tu di biarkan baring sendirian selama berjam-jam membuatkan aku kecut perut.

Tanggal 24 November 2004, Doktor Badli yang merupakan doktor utama yang menjaga dan merawat aku ketika di hospital telah   mengesahkan penyakit aku. “Tuan Puan, seperti yang kita tau anak Tuan dan Puan mengidap penyakit saraf yang dikenali saraf otak(lupa nama saintifik apa)”, terang doktor kepada ibu bapaku. “Tahap penyakit yang dialami oleh anak Tuan Puan  tidak teruk cuma kita perlukan pencegahan awal untuk mengelakkan lebih teruk lagi”, terang doktor lagi. “Adakah penyakit ini menyebabkan dia selalu pening-pening dan tak berani naik lif?”, Tanya ayahku bagi mendapatkan kepastian. “Yup btul itu, pening-pening adalah petanda jelas malah sebab dia tidak berani naik lif adalah kerana kesan kejutan menyebabkan otak boleh merakam dan merasainya meskipun tidak menaiki lif, ini bermaksud unsur kejutan pergerakan seperti 'roller coster' misalnya memberi kesan kepada otaknya”, terang Doktor Badli mengakhiri perbualan.

“Adik kena kuat tau, tak mau sedih-sedih kena selalu senyum barulah hidup ceria”, nasihat jururawat bernama Ina sama seperti nama kakak aku menguatkan lagi semangat ku.

“Insyaallah, lusa kita dah boleh jalani pembedahan, Je’i kena kuat kena berani anak laki mak tak boleh patah semangat kerana ini semua ujian tuhan”, kata-kata mak membuatkan aku menangis tersedu-sedu sambil mak memeluk ku erat dan ayah membelai kepala ku. Tipulah dalam hati ini tak rasa takut apabila di sebut pasal pembedahan, kecut perut ini kalau boleh biarla aku sakit dari buat pembedahan.

“Jei kena gak buat pembedahan, kalau jei nak hidup lama nak rasa kebahagian dan nikmati kehidupan Je’i kena juga lalui ini”, nasihat ayah membuatkan jiwaku meruntun .

“Jei, kita orang semua akan selalu mendoakan keselamatan dan kesihatan Je’i agar dapat hidup seperti biasa”, itulah kata-kata yang selalu diucapkan apabila saudara-mara melawat ku dihospital.

 “Andai kata inilah pengakhiran hidup aku, aku berdoa pada tuhan agar aku mati dalam keadaan yang tenang”, teriak aku dalam hati bagi menguatkan semangat ku.

Tepat pukul 10.38 malam tanggal 26 November 2004, jururawat dan doktor datang memberikan kata-kata semangat padaku, “ Zulhazri, insyaallah pembedahan ini akan berlansung dengan selamat dan adik dapat hidup normal”. 

“Jei, mak dan ayah selalu doakan yang anak mak ini selamat biar anak mak dapat membesar dan jadi orang berguna”, tangisan mak dapatku lihat mengalir perlahan ke pipinya. 

“Adik-beradik, saudara-mara dan orang kampung sedang membuat doa selamat tatkala jei menjalani pembedahan, insyaallah dengan doa mereka Je’i akan selamat”, kata-kata ayah membuatkan aku menitis air mata kerana aku sedar ramai insan yang menyayangi ku ini. Akhirnya, aku di beri suntikan pelali perlahan-lahan mata aku tertutup rapat seperti ada yang memaksa.

Alhamdulillah, selepas hampir 10 tahun kejadian itu berlalu(sejak aku mula sakit), kenangan itu tetap terpahat dalam memori menjadi kekuatan dan semangat untuk aku hidup. Ya aku masih seperti dulu tidak berani naik lif kerana penyakit itu telah membuatkan otak aku berterusan mengalami kesan akibat kejutan pergerakan. Cuma apa yang pasti aku telah dapat kehidupan yang baru serta nyawa baru. Saat aku selamat dari pembedahan tersebut hidup aku terus berubah, aku menjadi lebih ceria menjadi lebih bersemangat kerana aku tidak mau sia-siakan peluang kedua.

Masih ingat lagi kata-kata Doktor Badli, “Andai Zulhazri selamat, ingatlah bahawa hidup didunia ini perlu dihargai dan manusia perlu disayangi hiduplah dengan hati supaya Zulhazri terus tersenyum di kemudian hari”, Sebab itulah aku tak pernah berhenti tersenyum dan ketawa kerana itulah penawar tatkala aku dalam kesakitan. Cuma yang pasti aku masih takut naik lif. Biarlah orang kata aku ni penakut atau macam budak kecik, yang pasti aku tak kan berani naik lif. Melainkan ada orang peluk ikat aku masuk dalam lif(hehehe..).
Sekian, Terima kasih

p/s : Hidup tak selalu indah, tapi keindahan hidup boleh dikecapi jika kita terus mencari….jangan berhenti!! 

No comments:

Post a Comment